KUALA LUMPUR 6 Jan: Penyalahgunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memberi pinjaman mudah kepada pembeli rumah kos rendah, merupakan usaha kementerian kewangan mengurangkan keperluan menambah hutang kerajaan.
Perkara itu dinyatakan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang menegaskan kerajaan sepatutnya mengeluarkan bon kepada institusi itu.
“Dalam amalan biasa, sebarang program kebajikan disumbang oleh kerajaan persekutuan melalui cukai keuntungan.
“Jika hasil cukai terbukti tidak mencukupi, kerajaan persekutuan boleh menerbitkan bon untuk meningkatkan wang bagi pembiayaan belanja defisitnya.
“Dalam keadaan biasa, KWSP boleh melanggan bon-bon yang dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan, untuk memberi kesan pinjaman kepada kerajaan persekutuan,” tegas dua ahli parlimen ini.
Mereka mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Nong Raja Zainal Abidin mengumumkan penggunaan wang KWSP sebanyak RM1.5 bilion kepada mereka yang gagal mendapatkan pinjaman bagi membeli rumah.
“Perbezaan antara kedua pendekatan ini ialah kerajaan persekutuan dianggap peminjam berisiko rendah dan oleh itu sumbangan oleh pekerja dalam KWSP dianggap selamat, sementara pinjaman bagi mereka yang gagal memperoleh pinjaman perumahan komersil dianggap peminjam yang berisiko tinggi,” tegas mereka. “Kami merumuskan bahawa kerajaan tidak meminjam secara langsung daripada KWSP, dan sebaliknya meluluskan wang kepada KWSP untuk meminjamkan secara langsung kepada pembeli perumahan kos rendah kerana kerajaan tidak mahu meningkatkan lebih banyak hutang yang sudah pun ditahap yang tinggi,” tegasnya.
Ini kerana hutang kerajaan sudah mencecah RM456 bilion pada 2011, iaitu 84 peratus peningkatan daripada RM242 bilion lima tahun lalu pada 2006.
“Pada ketika tahap hutang kita dijangka bertambah dengan nyata pada tahun hadapan akibat rancangan infrastruktur besar seperti MRT di Lembah Klang bernilai RM5.3 bilion dan Lebuh Raya Pantai Barat bernilai RM7.1 bilion, Kementerian kewangan cuba mengurangkan semua obligasi hutangnya,” ujar mereka.
sumber: Keadilan Daily