“Sikap saya sebagai rakyat Malaysia dan bapa kepada mahasiswa saya rasa perjuangan mahasiswa hari ini untuk kerajaan bagi pendidikan percuma ini betul. “Sebab saya sebagai saya rasa keperitan membiayai pengajian anak-anak dari tadika sampai ke universiti. Anak saya empat orang masuk universiti memang ada terasa keperitannya lebih-lebih lagi saya ini bukan berpendapatan besar,” kata Mohd Ismath sewaktu ditemubual wartawan Malaysiakini di Dataran Merdeka.
Beliau adalah bapa kepada Mohd Khalid Ismath, Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen yang berkampung di Dataran Merdeka sejak tiga hari lalu menuntut pemansuhan PTPTN.
Menurutnya, beliau menyokong penuh perjuangan anaknya itu kerana yakin ia sesuatu yang bermanfaat dan tidak membuang masa. “Jadi saya sokong seratus peratus tuntutan mahasiswa supaya PTPTN ini dihapuskan dan (kerajaan) beri pendidikan percuma sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat ijazah pertama.
“Saya rasa perjuangan mereka betul. Mereka tidak merempit, tidak menagih dadah, tidak merosakkan anak dara orang,” katanya. Beliau turut mempertahankan tindakan anaknya yang dipandang sinis sesetengah pihak. Beliau percaya jika tuntutan pendidikan percuma itu berjaya, banyak pihak akan mendapat manfaat daripadanya.
“Dia buat benda yang betul. Perjuangan dia hari ini kita nampak macam benda yang lekeh tapi kalau berjaya, sampai anak cucu cicit esok dapat manfaatnya. “Anak awak dapat, anak orang Umno dapat, anak polis yang pukul mahasiswa ini dapat, anak menteri pun dapat pendidikan percuma. Adil. Perjuangan ini patut disokong,” katanya.
Kumpulan mahasiswa yang sedang berkhemah di Dataran Merdeka berikrar akan berbuat demikian sehingga ke himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.
sumber
sumber