Presiden BN ceduk idea PR!!!
Kehadiran PM ke Masjid Sri Petaling dengan memakai kopiah dan berkain sarung dan membawa keluarga untuk beristirehat di The Curve di khalayak orang ramai adalah tidak mengejutkan, terutamanya bilamana ia berlaku menjelang PRU13.
Kerana pada pandangan umum, dalam situasi terdesak seperti dialami BN-Umno kini yang sudah di ambang kekalahan, pelbagai wajah boleh dijelma asal ianya berjaya menarik perhatian pengundi.
Nampaknya satu persatu tindakan yang dilakukan oleh pimpinan PR akan diikuti oleh Perdana Menteri, bahkan tawaran Buku Jingga turut diikuti, walau pada mulanya ia diserang habis-habisan.
Menjelang tarikh PRU yang semakin dekat, tidak mustahil PM akan mengumumkan langkah drastik termasuklah menghapuskan pinjaman PTPTN dan penurunan harga minyak. Ini akan dilakukan demi mendapat sokongan rakyat terbanyak khususnya di kalangan anak-anak muda.
Di saat tempoh matang Parlimen yang semakin hampir, dan kajian pelbagai pihak yang menunjukkan PR mendapat sokongan luar biasa, maka tindakan meniru tawaran PR dengan terus mengisytihar melalui pelbagai jenama baru, walaupun asasnya sama, membuktikan PM kekeringan idea dalam meneruskan kepimpinan negara.
PM juga berhadapan dengan kebimbangan wujudnya tindakan boikot, tutup bilik gerakan, merajuk dan mengistihar sokongan kepada pembangkang bilamana nama- nama calon diumumkan tidak direstui akar umbi.
Pelbagai nama yang bersaling ganti untuk menjadi MB berlaku di Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan tidak kurang juga di Negeri Sembilan, Pahang dan Johor. PM juga tertekan dengan kemungkinan kehilangan kerusi Presiden Umno jika gagal memulihkan BN seperti yang dikatakan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Walau apapun rakyat tetap menunggu ketibaan hari mereka untuk menobatkan kerajaan baru dan barisan kepimpinan baru yang lebih berwibawa dan mampu menggalas amanah. insyaAllah.
Ketua Penerangan PAS Pusat
2 April 2013.