Tahniah kepada Polis DiRaja Malaysia kerana memperhebatkan kempen anti demo 'Bebaskan Anwar'. Agak menghairankan apabila pihak polis boleh mengadakan kempen sedemikian rupa kerana pada asalnya dasar utama Polis Raja Di Malaysia ditubuhkan adalah dibawah Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967:
- Memelihara Undang-Undang dan Ketenteraman
- Mengekalkan Keamanan dan Keselamatan Malaysia
- Mencegah dan Mengesan Penjenayah
- Menangkap dan Mendakwa Pesalah-Pesalah
- Mengumpul Risikan Keselamatan.
Begitu juga dengan misi dan visi polis:
Apakah kini pihak Polis Raja Di Malaysia telah mengubah misi dan visi serta matlamat kepada mempertahankan kezaliman kerajaan dalam kes melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim? Apakah rakyat kini tidak boleh berhimpun beramai-ramai untuk mendengar keputusan mahkamah? Apakah rakyat kini tidak boleh berdemo demi menyelamatkan maruah pemimpinnya yang kini dipijak, dizalimi dan dikeji?
Kalau hendak dibandingkan dengan perhimpunan BERSIH 2.0 dahulu, perhimpunan kali ini tidak banyak beza, rakyat cuma datang berhimpun, berarak ke jalan-jalan raya tanpa melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan kerosakan harta benda awam dan kerugian kepada negara, malah peniaga-peniaga akan mendapat lebih keuntungan dengan kebanjiran ratusan ribu rakyat Malaysia yang ingin mendengar keputusan perbicaraan kes liwat Saiful Bukhari Azlan! Adakah ini pun akan menyebabkan huru-hara seperti mana yang didakwa oleh pihak polis?
Sebenarnya tindak-tanduk pihak polis ini sudah dijangka oleh rakyat Malaysia. Bila perhimpunan yang hendak diadakan itu memihak kerajaan, bukan sahaja permit, malah Polis telah menunjukkan sifat kesopanan dan kesusilaan yang tiada tolok bandingnya, memberi kerjasama yang penuh kepada penunjuk perasaan tersebut. Berbeza dengan perhimpunan yang tidak memihak kepada kerajaan Barisan Nasional, bukan sahaja permit tidak diberi, malah awal-awal lagi sudah bertindak meracuni pemikiran rakyat dengan pelbagai keburukan dan dakyah serta menghasut rakyat supaya tidak menyertai perhimpunan tersebut. Sampai bilakah Rakyat Malaysia akan diperbodohkan dan dipermain-mainkan oleh pihak polis?
Warta Jingga: Sedarlah wahai Polis DiRaja Malaysia, gaji kamu dibayar oleh Rakyat Malaysia! Berkhidmatlah Demi Rakyat Malaysia bukannya Demi Mempertahankan Pemimpin Yang Korup Dan Zalim!!
Polis perhebat kempen anti demo 'Bebaskan Anwar'
Polis telah memperhebatkan kempen media sosial terhadap perhimpunan yang dirancang pada 9 Januari ini apabila keputusan kes perbicaraan liwat II yang membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan.
Laman rasmi Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia berkongsi gambar dan video rusuhan yang lalu, termasuk laporan Berita ABC mengenai rusuhan di kota London pada Ogos lalu.
Tajuk klip video mengenai rusuhan London berbunyi:
"Adakah ini yang anda inginkan?
“Kejadian perhimpunan secara aman yang berlarutan sehingga menjadi rusuhan yang pernah berlaku di negara asing harus dijadikan iktibar jika kita ingin mengejar kebebasan dan hak bersuara.
“Pengajaran daripada sejarah, keamanan merupakan nilai utama kemakmuran negara.
“Bersama-sama kita, bangsa Malaysia, mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara yang dinikmati bersama selama-lamanya.”
Klip video lebih dua minit itu menunjukkan penunjuk perasaan memecahkan tingkap, bangunan manakala kenderaan dibakar dan mereka bertarung dengan pihak polis di jalanan sekitar kota London.
Klip ini juga menunjukkan seorang wanita yang terpaksa terjun dari sebuah bangunan terbakar untuk menyelamatkan diri dengan suara latar pembaca berita ABC News menerangkan kejadian itu sebagai "sungguh dahsyat".
Gambar lain menunjukkan seorang penunjuk perasaan memanjat atas sebuah kereta peronda polis, manakala satu lagi gambar memaparkan sebuah van diterbalikkan. Walau bagaimanapun, sumber gambar-gambar berkenaan tidak jelas.
Selain itu, polis juga memuat-naikkan wawancara dengan seorang 'pekedai' dan 'pengawal keselamatan' yang membuat komen-komen negatif berhubung perhimpunan yang dirancangdi luar kompleks Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Isnin ini.
"Jika boleh, jangan sertai perhimpunan 901 kerana ia menimbulkan masalah kepada semua orang," kata seorang pekedai yang hanya dikenal sebagai 'Encik Kenny' dalam klip video satu minit itu. Dakwanya, perhimpunan BERSIH dan gerakan Reformasi sebelum ini telah memberi kesan terhadap perniagaannya.
PKR semalam mengisytiharkan bahawa 100,000 penyokongnya termasuk daripada PAS dan DAP akan berada di luar kompleks mahkamah pada hari Isnin ini.