PHR

Selangorku

Warta Jingga Followers

Saturday, 14 April 2012

Peneroka Felda: Durian Runtuh atau Durian Reput?


KEADILAN memandang serius kenyataan PM Najib bahawasanya kesemua 112,634 peneroka di 317 tanah rancangan FELDA dan 22,468 pekerja FELDA akan mendapat durian runtuh terbesar yang mereka tidak pernah impikan sehingga mereka akan “tersandar, rebah dalam kejutan” hasil tawaran awam permulaan atau “initial public offering” (IPO) FELDA Global Venture Holdings (FGVH) yang dijangka selesai penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada lewat Mei atau awal Jun 2012.


2. Dengan “gula-gula” pilihanraya semanis ini, kami menjangkakan para peneroka dan pekerja FELDA akan menerima saham FGVH secara percuma di samping sejumlah wang tunai sagu hati insentif penyenaraian tersebut.


3. Malangnya, jangkaan tersebut ternyata meleset kerana menurut sumber yang boleh dipercayai, para peneroka dan pekerja FELDA tidak akan menerima saham percuma atau wang tunai insentif penyenaraian.

4. Sebaliknya, KEADILAN difahamkan bahawa: 
4.1  Para peneroka dan pekerja FELDA diwajibkan membuat pinjaman dengan beberapa bank terpilih untuk membeli saham FGVH meskipun segelintir daripada mereka mungkin mempunyai simpanan untuk membiayai permohonan membeli saham IPO tersebut 4.2 Walaupun margin pinjaman adalah 100%, tempoh pinjaman adalah untuk 6 bulan sahaja yakni para peneroka dan pekerja terpaksa membayar balik keseluruhan pinjaman dengan simpanan sendiri semasa menerima borang merah jambu/biru ATAUPUN menggunakan hasil jualan saham FGVH di pasaran terbuka nanti untuk membiayai pembayaran balik pinjaman sebelum atau pada tamat tempoh 6 bulan 4.3 Walaupun “stamping fee” diketepikan, para peneroka dan pekerja FELDA masih perlu membayar kepada bank fi dan caj sebanyak RM200 apabila pinjaman dengan rasminya dikeluarkan atau RM100 sebagai rebat jika pinjaman dilunaskan awal semasa borang merah jambu (bagi pekerja) atau biru (bagi peneroka) diterima 4.4 Kadar faedah “daily rest” pada paras 5% setahun yakni lebih 2.5 kali ganda kadar faedah pinjaman mudah bagi National Feedlot Centre (NFC) pada paras 2%

5. Jelas sekali apa yang disifatkan oleh PM Najib sebagai “lonjakan berganda” ini sebenarnya lebih cenderung ke arah membuka peluang niaga baharu dan memberi kesempatan kepada institusi kewangan terbabit mendapat hasil atas titik-peluh dan keringat peneroka dan pekerja FELDA, terutamanya 5 bank pelaburan yang dilantik menyelenggara kesemua perkara berkaitan penyenaraian, 7 bank yang dipilih untuk memberi pinjaman membiayai pembelian saham, dan beberapa syarikat pembrokeran saham yang dilantik untuk menjalankan urusniaga jual-beli saham di pasaran terbuka. Yang paling ketara adalah bil yuran dan caj tinggi yang perlu ditanggung oleh FGVH atas khidmat nasihat dan pengurusan gerak-kerja penyenaraian oleh 2 bank pelaburan domestik dan 3 asing iaitu Maybank Investment, CIMB Investment, Morgan Stanley, JP Morgan dan Deutsche Bank ke atas FGVH.

6. Malah, pendekatan sebegini juga akan menyebabkan kecairan pada pegangan ekuiti Bumiputera dalam FGVH seusai peneroka dan pekerja FELDA menjual saham mereka di pasaran terbuka untuk melunaskan hutang kepada bank. Walaupun KPF dijangka akan kekal sebagai pemegang saham terbesar di samping Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala syarikat asing hanya ditawarkan sebahagian kecil saham dalam IPO FGVH, tiada apa yang menghalang mana-mana pelabur (Bumiputera dan bukan Bumiputera) dari membeli saham FGVH di pasaran terbuka.

7. Lebih malang adalah nasib anak peneroka daripada generasi kedua dan ketiga setelah harapan mereka untuk menjadi peneroka baharu dengan mengusahakan tanah ladang kelapa sawit seluas 360,067 hektar tanpa peneroka milik FELDA Plantations Sdn Bhd berkecai kerana telah dicagar kepada FGVH selama 99 tahun bagi tujuan penyenaraian.

8. KEADILAN menggesa agar PM Najib menghentikan “umpan undi” atau “rasuah politik” seumpama ini dengan serta-merta, dan menerangkan kepada umum perangkap yang tersirat di sebalik 'durian runtuh' ini. PM wajib menjawab kepada setiap satu mekanisme di atas bagi meleraikan kebimbangan ramai, lantas benar-benar memberi fokus yang sewajarnya atas hak dan kepentingan mereka yang kurang bernasib baik!

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap
Naib Presiden KEADILAN

Rakan Facebook Jingga 13

Blog Archive

Tip Top Sponsor


Intense Debate Comments

Artikel Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...