KENYATAAN MEDIA oleh JINGGA 13 telah pun dibuat di Lobi Parlimen Malaysia sebenar tadi mengenai PENDEDAHAN TERHADAP RASUAH SALAHGUNA KUASA MENTERI KPDNKK DATUK ISMAIL SABRI YAAKOB, SURUHANJAYA KOPERASI MALAYSIA DAN TIMBALAN KETUA MENTERI SABAH DATUK SERI PANGLIMA YAHYA HUSSIN TERHADAP PELANJUTAN ‘ISTIMEWA DAN KHAS’ KOPERASI TANJONG KERAMAT KOTA KINABALU BERHAD
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK) telah mengumumkan perlaksanaan GP6: Garis Panduan Mengenai Kemudahan Kredit Oleh Koperasi dan GP7: Garis Panduan Mengenai Pembiayaan islam Oleh Koperasi dan berkuatkuasa pada 16 Oktober 2009, namun ditangguh sehingga 1 Oktober 2010 dan semua koperasi dikehendaki menjalankan urusan pembiayaan daripada Model 3 kepada Model 2. Ekoran daripada itu , banyak koperasi yang belum bersedia (majoriti melayu-bumiputera) dengan model 2 telah diarah dan memberhentikan segala urusan pembiayaan melalui bank komersial dan mengakibatkan kerugian yang besar sehingga ada yang terpaksa membuang pekerja kerana menghadapi masalah kewangan yang besar.
Namun dalam suasana tersebut, adalah amat menghairankan apabila Menteri KDNKK dan SKM telah bersikap dwi standard didapati sebuah syarikat koperasi di bawah CIMB Bank Berhad iaitu KOPERASI TANJONG KERAMAT KOTA KINABALU BERHAD diberikan keistimewaan dan pelanjutan “khas”. Pengerusi Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad adalah Datin Seri Panglima Hajah Jouyah binti Md Yunin yang merupakan isteri kepada YB Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Norazli Yahya ialah Ketua Pegawai Eksekutif juga merupakan anak kepada Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dan Datin Seri Panglima Hajah Jouyah binti Md Yunin.
Pendedahan dari surat Suruhanjaya Koperasi Malaysia kepada Setiausaha Jawatankuasa Portpolio Koperasi DPMM bertarikh 6 Mei 2011, rujukan SKM.IP(UU): 529A/(31) bertajuk PENJELASAN KOPERASI TANJUNG KERAMAT SABAH BERHAD DENGAN MODEL 3 PEMBIAYAAN CIMB menyatakan:
Adalah dimaklumkan pelaksanaan Garis Panduan 6 dan 7 (GP6 dan GP7) oleh koperasi-koperasi kredit telah mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2010. Tiada koperasi lain yang diberi pelanjutan tempoh oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Suruhanjaya) kecuali Koperasi Tanjung Keramat Kota Kinabalu Berhad sahaja. Perlanjutan tempoh kepada Koperasi Tanjung Keramat Kota Kinabalu Berhad diberikan adalah berdasarkan kepada berikut :
- Arahan daripada YB Menteri KPDNKK supaya memberi pertimbangan sewajarnya atas rayuan tersebut;
- Terdapat surat rayuan daripada Kerajaan Negeri Sabah yang ditandatangani oleh YB Timbalan Ketua Menteri supaya memberi pelanjutan sehingga 31 Disember 2011 kepada semua koperasi di Negeri Sabah.
Juga terdapat sepucuk surat oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia bertarikh 30 Jun 2011 kepada Pengerusi Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad , bernombor rujukan SKM.IP.(UU)529A/1( ) bertajuk PERMOHONAN MELANJUTAN TEMPOH PELAKSANAAN MODEL 2 GARIS PANDUAN KOPERASI KREDIT BERSAMA CIMB BANK BERHAD OLEH KOPERASI TANJONG KERAMAT KOTA KINABALU BERHAD menyatakan:
Dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Suruhanjaya) dengan persetujuan Y.B Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersetuju memberikan kelonggaran kepada Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad dengan memberi tempoh penangguhan “khas” pelaksanaan GP6 dan GP7 sehingga konsep Hiwalah yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia dalam mesyuaratnya pada 28 Jun 2011 dikuatkuasakan dalam masa terdekat.
Tindakan kejam dan zalim oleh Datuk Ismail Sabri Yaacob tersebut menafikan ratusan koperasi-koperasi kredit melayu dan bumiputera lain yang ada terpaksa berdepan dengan risiko ‘gulung tikar dan hidup segan mati tidak mahu ekoran perlaksanaan GP6 dan GP7 yang tidak membenarkan mereka mengunakan model 3 tetapi memberikan pelanjutan khas kepada hanya sebuah koperasi sahaja iaitu Koperasi Tanjung Keramat Kota Kinabalu Berhad.
Menteri KPDNKK Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) wajib menjelaskan di atas alasan apa membenarkan Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad diberikan penangguhan istimewa dan khas atau pelanjutan tempoh melaksanakan model 2 sedangkan pelaksanaan Garis Panduan 6 dan 7 (GP6 dan GP7) oleh koperasi-koperasi kredit berkuatkuasa pada 1 oktober 2010?