SHAH ALAM - Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah tidak bersetuju dengan tuntutan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sekali gus bercanggah pendirian dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, laporan arus perdana juga seolah-olah menunjukkan kononnya Abdul Hadi menyanggah cadangan Anwar untuk memansuhkan PTPTN jika Pakatan Rakyat meguasai Putrajaya.
"Ini menunjukkan niat jahat untuk melaga-lagakan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat semata-mata.
"Media arus perdana ini dengan jeleknya telah sengaja memutar belitkan maksud ulasan Presiden Pas seperti mana menjadi amalan kebiasaan mereka," kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, "ingin dipertegaskan bahawa isu penghapusan PTPTN telah dibincang dengan mendalam dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga telah memberikan pandangan yang menjadi pendirian bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam isu ini."
Kata beliau, "yang dipertegaskan oleh Presiden Pas ialah bahawa PTPTN akan dihapuskan. Manakala penghapusan PTPTN pula akan dilaksanakan dengan prosesnya."
"Proses yang dimaksudkan oleh Presiden Pas di sini ialah penghapusan PTPTN sepatutnya tidak membimbangkan mana-mana pihak kerana ia akan dilaksanakan dengan penuh prinsip keadilan dan tidak membebankan rakyat, di mana orang miskin akan dibela tanpa mengira kaum mereka dan orang yang kaya mestilah memainkan tanggungjawab membantu mengikut kemampuan mereka dalam sebuah negara," kata Ahmad Samsuri merujuk kepada laporan beberapa arus perdana yang memetik laporan Sinar Harian semalam.
Presiden PAS juga turut mendakwa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) berbohong kepada rakyat apabila menyatakan negara akan jatuh bankrap sekiranya dana pendidikan itu dihapuskan.
“Pendidikan percuma itu konsep negara berkebajikan yang Pas kemukakan. Masalah dana perlu ditangani dengan bijak, kita nak laksanakan konsep (negara berkebajikan) tapi terpaksa memikul bebanan kesalahan BN.
“Bankrap itu tidak betul, bohong, ia disebabkan salah urus. Banyak negara seperti Britain, Sweden, Norway dan Jerman beri pendidikan percuma. Apa yang berlaku adalah kerana duit negara bocor sebab rasuah, penyelewengan,” katanya.