KUALA LUMPUR, 23 April: KEADILAN mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi keterangan di Mahkamah Perancis, berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene.
Naib Presidennya N Surendran berkata, keengganan pemimpin itu berbuat demikian boleh menjejaskan imej negara apatah lagi kedua-dua negara mempunyai pertalian baik.
“Saya amat kecewa apabila Perdana Menteri dan beberapa individu lain yang terlibat enggan bekerjasama apabila diminta memberi keterangan.Ini mencerminkan sikap tidak bertanggung jawab mereka.
“Ia seolah-olah mempersendakan sistem kehakiman Perancis dan boleh menjejaskan hubungan baik, seterusnya memberi gambaran yang buruk tentang imej negara,” katanya ketika dihubungi Keadilan Daily hari ini.
Beliau berkata demkian mengulas keengganan Najib dan Zahid memberi keterangan di tribunal Grande Instanve Paris berhubung komisen yang dibayar pembuat kapal Selam Perancis, DCNS kepada pegawai Malaysia.
Najib semalam enggan memberikan respon ketika ditanya oleh wartawan dalam sidang media di Universiti Sains Malaysia. Malah sidang media tidak sampai 10 minit itu, dipendekkan.
Nama Najib dan Zahid antara saksi yang dikemukakan pada 20 April lalu oleh tiga wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di depan hakim Roger Le Loire- salah seorang dari dua hakim yang mendengar kes berkenaan.
Suaram mengemukakan Najib sebagai saksi yang wajar dipanggil, memandangkan beliau merupakan menteri pertahanan yang terlibat dalam perolehan dua kapal selam berharga RM7.3 bilion itu.
Surendran berkata, tiada apa yang perlu ditakutkan kedua-dua pemimpin itu jika benar mereka tidak terlibat dalam transaksi tersebut.
Sebaliknya kata beliau, sikap berdolak-dalik mereka seolah menunjukkan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu.
“Justeru sekali lagi saya menyarankan Najib dan Zahid bersetuju untuk memberi keterangan dalam kes ini,” kata beliau.
Sementara itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disifatkan cuba membuat pusingan U, apabila sebelum ini memberi jaminan akan memberi keterangan di mahkamah Perancis, jika diminta berbuat demikian.
Bagaimanapun, Zahid Sabtu lalu berkata, beliau tidak akan hadir atau menghantar wakil dalam perbicaraan berkaitan rasuah pembelian Scorpene bernilai RM7.3 bilion itu.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, Zahid cuba berlagak hero sebelum membuat ‘U-Turn’ dengan kenyataan terbarunya.
“Dulu bukan main berani. Kenapa sekarang takut? Ini menunjukkan Zahid sudah buat ‘U-turn’. Itu lah, nak jadi Hero sangat. Sekarang tak berani pergi pula,” katanya.
Zahid pada 11 Mei tahun lalu berkata, beliau sedia memberi keterangan untuk membuktikan ketelusan kerajaan dan supaya mahkamah menentukan kebenaran dalam kes itu.
Mengulas lanjut, Tian berkata, Zahid cuba mengambil alih kesalahan yang dilakukan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi menteri pertahanan.
“Takkan dia (zahid) nak pergi (sebagai saksi) atas kesalahan orang lain? Sebenarnya, memang bukan tanggungjawab Zahid pun, tapi Menteri Pertahanan ketika urusaniaga pembelian Scorpene dibuat, iaitu Najib Razak,” jelas Tian.
Khamis lalu, Paris Tribunal Grande Instance menerima senarai saksi yang dicadangkan Suaram, antaranya Najib selaku menteri yang bertanggungjawab ketika pembelian Scorpene pada 2002 dan Zahid yang kini menjadi menteri pertahanan.
Keadilan Daily