KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi sebuah kumpulan berkonsep hip-hop popular Malaysia ditahan polis selepas didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun di rumahnya di Gombak Jaya, dekat sini, kelmarin, lapor sebuah akhbar tabloid setempat. Penyanyi berusia 37 tahun yang pernah berlakon filem itu ditahan selepas anak tirinya membuat laporan di Balai Polis Gombak, di sini, pada 11 malam Sabtu lalu, kata satu laporan Harian Metro, semalam.
Sambil memetik sumber, akhbar tersebut berkata mangsa dalam laporannya mendakwa telah dinodai bapa tirinya itu sejak berusia tujuh tahun dan kejadian terbaru berlaku pada 9 Februari lalu.'Berikutan laporan itu, polis melakukan siasatan sebelum menahan penyanyi terbabit di rumahnya di Gombak Jaya pada 2 pagi tadi (semalam),' kata sumber berkenaan kepada Harian Metro, kelmarin.
Beliau berkata remaja perempuan itu mendakwa dia nekad membuat laporan polis kerana tidak tahan dijadikan hamba seks bapa tirinya sejak tujuh tahun lalu, selain bimbang keselamatan adik perempuannya yang lain.'Mangsa mendakwa bapa tirinya merogolnya setiap kali ibunya tiada di rumah kerana keluar bekerja. Mangsa takut memaklumklan kejadian itu kepada ibunya, menyebabkan dia terus menjadi mangsa penyanyi terbabit.
'Malah, mangsa mendakwa dia seolah-olah dijadikan 'isteri kedua' oleh ayah tirinya itu,' katanya lagi.Tertekan dengan penderaan seksual yang dialaminya, mangsa memberitahu kejadian itu kepada sepupunya dan seorang kaunselor di sekolahnya pada 15 Februari lalu.Sumber itu juga berkata bahawa selepas mendengar pengakuan mangsa, kaunselor berkenaan menasihatkan mangsa agar membuat laporan polis.
'Selepas menerima laporan mangsa, polis merakamkan percakapannya sebelum merujuknya ke Hospital Selayang (HS) untuk pemeriksaan perubatan. Polis kini memberikan perlindungan sementara kepada mangsa dengan menempatkannya di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana dia masih di bawah umur,' ujar sumber itu.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut serta penahanan reman penyanyi berkenaan selama tujuh hari untuk disiasat atas kesalahan sumbang mahram.