KUALA LUMPUR, 25 Mac: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan agensi Kerajaan Negeri yang telah diberikan tanggungjawab untuk mendirikan Rumah Mampu Milik untuk golongan berpendapatan antara RM2500-RM5000 sebulan.
Projek sulung yang telah dilancarkan di Bangi pada tahun yang lalu adalah jauh lebih murah dengan harga kurang RM100,000 berbanding rumah mampu milik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan nilai melebihi RM200,000.
Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali memberitahu PKNS meletakkan sasaran untuk membina 11,000 unit Rumah Mampu Milik di atas tanah-tanah milik PKNS. Berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri termasuk syarat bahawa setiap unit harus dilengkapi dua (2) tempat letak kereta dengan tambahan 20 peratus kos telah melonjak sehingga RM 180,000 seunit.
"Ini termasuk lah kos "elevated carpark" dan kemudahan rekreasi lain seperti dewan dan nursery yang turut menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan. Kos pembinaan untuk seunit elevated carpark telah mencecah RM 30,000.
"Oleh kerana kos pembinaan bagi seunit rumah adalah bernilai RM 180,000 dan PKNS diminta untuk menjual pada harga RM 85,000 seunit, ini bermakna PKNS terpaksa menanggung subsidi sebanyak hampir RM100,000 bagi setiap unit rumah yang dijual. Jumlah subsidi sebesar RM 1.1 bilion untuk menyiapkan 11,000 unit rumah adalah diluar kemampuan PKNS.
Menurutnya lagi, apakah rancangan kerajaan untuk meringankan bebanan PKNS dalam usaha menyediakan keselesaan kepada rakyat ?
"Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan mengkaji semula harga yang ditetapkan untuk Rumah Mampu Milik dan juga melonggarkan syarat - syarat termasuk kemudahan tempat letak kereta serta mencari mekanisme yang lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Saya yakin dan percaya bahawa dasar yang pragmatik akan turut menarik pemaju yang lain untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menyediakan Rumah Mampu Milik yang lebih selesa untuk rakyat dan tidak merugikan pemaju termasuk menanggung subsidi yang terlalu tinggi," sambungnya lagi.
Kita juga yakin bahawa sokongan kerajaan terhadap usaha ini akan membantu PKNS supaya dapat bersaing dengan pemaju-pemaju lain dalam industri pembinaan.