“Ini (skandal NFC) mencerminkan kecuaian Najib dan mungkin berlaku penyelewengan, dan perkara ini masih belum dijawab beliau. “Justeru, kita bantah dengan keras pengumuman Noh Omar, yang dilihat cuba menutup peranan Najib dalam skandal yang menggunakan RM250 juta duit rakyat ini,” kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Rafizi turut mempersoal siasatan dan juga langkah-langkah pemulihan NFC yang sehingga ke hari ini masih belum mampu menangani masalah tersebut sehingga ke peringkat akar umbi. “Ini termasuk pengumuman pembekuan aset oleh Najib, walhal operasi, perbelanjaan dan penstrukturan aset NFC dan syarikat berkaitan berjalan seperti biasa dan cuba menghapuskan bukti penyelewengan.
“Begitu juga dengan pelantikan juruaudit bebas oleh Timbalan Perdana Menteri, yang sehingga kini tidak diketahui skopnya dan bilakah laporan dibentang di Dewan Rakyat. “Kita khuatir audit ini hanya untuk mengenalpasti penyelewengan, agar bukti dapat dihapuskan,”katanya.
Rafizi merujuk pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar semalam, yang akan membuka tender kepada pihak berminat untuk mengambil alih projek ternakan lembu daging Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).
Projek yang sebelum ini dikendalikan syarikat milik keluarga Shahrizat ini disifatkan gagal dan menghadapi pelbagai masalah. 12 Mac lalu, Pengarah NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan pecah amanah dan melanggar Akta Syarikat 1965.
Rafizi berkata lagi, tidak ada pilihan lain selain terus membongkar penyelewengan yang telah dan masih berlaku dalam NFC, dan ini akan diteruskan bermula minggu depan.