Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 22 Mei: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendakwaan ke atasnya di bawah Akta Perhimpunan Aman bermotif politik.
“Pertuduhan bertujuan politik dan saya minta dibicarakan,” kata Anwar selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Datuk Yusof Zainal Abidin di Mahkamah Sesyen Jalan Duta pagi tadi.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Mahkamah Jalan Duta dekat sini kira-kira jam 9.10 minit pagi tadi.
Kehadiran disusuli Timbalan Presiden, Azmin Ali juga ditemani isteri beliau, Shamsida Taharin yang berpakaian sedondon kuning dan diikuti Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin.
Berpuluh-puluh media tempatan dan antarabangsa memenuhi perkarangan kompleks mahkamah untuk membuat liputan.
Antara pimpinan yang hadir, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Datuk Chua Jui Meng; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Ketua Angkatan Muda (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri dan Ahli Parlimen Kuala Kerai, Dr Hatta Ramli
Ketiga-tiga pimpinan KEADILAN itu menerima writ saman untuk ke Mahkamah Tinggi hari ini pada petang semalam.
Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengambil bahagian dalam protes jalanan di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir, bertarikh 26 April yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3.00 petang pada 28 April lalu.
Mereka boleh didenda RM10,000 jika sabit kesalahan di bawah akta tersebut.
Difahamkan jika sabit kesalahan, ketiga-tiga pimpinan KEADILAN itu akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Pandangan rakyat jika Anwar & Azmin dibicarakan:
Kenapa Anwar dan Azmin saja yang didakwa? Kenapa bukan termasuk PAS dan Parti-parti yang lain. Soal dalang atau tidak, tidak menjadi soal dalam perkara ini. Kerana perkara itu tidak dapat dibuktikan walau dengan apa juapun buktinya dan walaupun ia terbukti di mahkamah, Rakyat tidak akan percaya dan rakyat tetap tidak akan berpuas hati dengan keputusan Mahkamah. Mengapa saya kata bunuh diri?Kerana rakyat akan semakin membenci kerajaan yang jelas bukannya menurut tuntutan Bersih tetapi malah sebaliknya menghentam bersih. Ibarat menghalang orang memberihkan longkang. Penyapu dipatahkan dan orang yang meminta longkang itu dibersihkan ditahan dan dibicarakan? Kepercayaan rakyat bahawa BN akan menghormati hak rakyat untuk bersuara semakin lemah bahkan tidak ada lagi. Bahkan pihak yang menyokong BN selama ini juga akan sedar siapa sebenarnya BN. Saya percaya banyak antara mereka akan berpaling tadah apabila melihat dakwaan tersebut. Bukankah itu bunuh diri namanya?