Perhimpunan Agung Umno ke-62 itu berlangsung selama lima hari dan akan berakhir Sabtu ini.Kira-kira 5,447 perwakilan menghadiri perhimpunan itu.Dalam satu sesi tertutup yang dihadiri ahli majlis tertinggi, jawatankuasa eksekutif Pergerakan Wanita, Pemuda dan para pemimpin peringkat bahagian Umno, Datuk Seri Najib - yang juga Perdana Menteri Malaysia - meminta anggota parti itu supaya menyelesaikan perbalahan, jika ada, di peringkat bahagian.
Pesanan dan kenyataan Datuk Seri Najib itu disampaikan oleh ketiga-tiga Naib Presiden Umno - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - pada satu sidang akhbar selepas majlis taklimat itu.Datuk Seri Zahid berkata presiden Umno itu telah meminta anggota parti supaya jangan memandang ringan atau mengambil mudah pilihan raya yang bakal menjelang.
'Pilihan raya umum (PRU) ke-13 adalah pilihan raya yang paling getir. Beliau telah meminta supaya kepimpinan bahagian dan akar umbi agar bekerja kuat secara luar biasa kerana PRU kali ini adalah PRU yang luar biasa cabarannya, dan perpaduan harus diberikan keutamaan, dan inilah yang diberi tekanan oleh beliau (Datuk Seri Najib),' kata Datuk Seri Zahid, yang juga Menteri Pertahanan Malaysia.
Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, melahirkan rasa syukurnya kerana anggota perwakilan menerima pesanan Datuk Seri Najib dengan hati terbuka dan sanggup meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu atau puak-puak tertentu.
'Ini memastikan bahawa suasana atau mood persidangan agung kali ini diletakkan di atas landasan yang baik,' katanya.Menurutnya, anggota parti diharapkan dapat menyelesaikan perbalahan sesama sendiri supaya unsur-unsur sabotaj dapat diketepikan dan tumpuan diberikan kepada agenda parti dan bukan agenda perjuangan peribadi.
Datuk Seri Shafie, juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia, pula berharap para perwakilan tidak mengambil ringan pesanan presiden parti itu.
'Kita harus memenangi pilihan raya ini dengan satu kejayaan yang boleh dikatakan selesa untuk membolehkan program- program transformasi ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin,' katanya.