KUALA LUMPUR: Penjaga gol pasukan kebangsaan Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat, 22 tahun, sekali lagi dilanda kontroversi berkaitan lima keping gambarnya bermesra bersama seorang gadis yang kini tersebar luas menerusi beberapa blog-blog hiburan.
Gambar yang dimuat naik di laman-laman portal hiburan itu malam Sabtu lalu dilakukan oleh seorang individu tidak dikenali atau kemungkinan dilakukan sendiri gadis berkenaan, dipercayai sebagai usaha menjatuhkan reputasi penjaga gol pasukan Malaysia itu, yang turut popular dengan gelaran 'Apek', lapor akhbar Harian Metro, semalam.
Seakan-akan menerima nasib malang buat kali kedua, Khairul Fahmi, yang putus tunang pada 3 Ogos lalu dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia, 22 tahun, kini dikaitkan dengan kontroversi panas.Ini selepas beberapa gambarnya bersama kekasihnya, Dahlia Teck, tersebar luas menerusi Internet termasuk ketika mereka berada di Singapura dan di tempat yang eksklusif.
Namun, pada 2 November lalu, Khairul Fahmi sekali lagi tersentak dengan penyebaran dua gambarnya bersama Dahlia Teck, yang diambil dan dimuat naik di portal hiburan ketika mereka dan beberapa rakan meraikan pesta hari jadi di sebuah restoran makanan Italy di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dengan beberapa botol arak bergelimpangan di atas meja.Khairul Fahmi, bagaimanapun, menafikan dia meminum arak dengan alasan mukanya merah padam disebabkan suasana panas dan keadaan yang sesak di tempat itu, menurut laporan Harian Metro.
Bagaimanapun, walaupun beliau menafikan perbuatan itu, Khairul Fahmi tetap ditegur oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed, kerana disabitkan sebagai bersubahat.Selain penyebaran lima gambar Khairul Fahmi itu, dua paparan mesej melalui khidmat Blackberry Messenger (BBM) juga dimuat naik menunjukkan kononnya penjaga gol itu sedang bertengkar dengan gadis yang sama.
Semasa dihubungi kelmarin oleh Harian Metro bagi memastikan kesahihan isu tersebut, Khairul Fahmi, bagaimanapun, enggan mengulas perkara itu dan hanya mahu menumpukan tumpuan penuhnya kepada bola sepak dan perlawanan Malaysia menentang Bahrain malam kelmarin.'No komen... Saya tak mahu mengulas apa-apa kerana saya mahu fokus pada game (perlawanan) malam ini (malam kelmarin). Saya mahu berehat dan berlatih...' kata Khairul Fahmi.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, meminta supaya ahli sukan tidak mencampuradukkan urusan peribadi dengan kerjaya mereka sebagai ahli sukan.Mengenai kes ini, beliau berkata terlalu awal bagi pihaknya mengulas.