PUTRAJAYA, 2 Feb: Jingga 13 hari ini mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi penjelasan dengan segera berhubung perkembangan laporan isu e-mel yang dihantar oleh Ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Megat Najmudin Megat Khas.
Kata Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa sewaktu menyerahkan memorandum kepada SPRM, laporan telah dibuat pada 12 Januari lepas berkaitan bukti e-mel bertarikh 31 Disember tahun lepas yang bertajuk "sekarang NFC adalah mangsa penipuan" sehingga sekarang tidak ada sebarang perkembangan.
Memorandum tersebut telah diterima oleh Penolong Kanan Penguasa SPRM, Azlin Mohd Ali pada jam 11.30 pagi di Ibu Pejabat SPRM di sini.
"Sehingga sekarang kami tidak mendapat apa-apa perkembangan dari laporan yang telah dibuat. Apa yang pasti jelas e-mel yang ditulis oleh Megat Najmuddin menunjukkan wujudnya unsur rasuah yang melibatkan Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.
"Arahan rasuah itu jelas apabila Mohamad Salleh mengarahkan Datuk Samsulbahrin sebagai orang tengah bagi merasuah pihak polis sebanyak RM1.755 juta agar perkara itu ditutup," dakwa Fariz.
Tambahnya lagi, SPRM masih bersikap diam diri serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi laporan tersebut dan ia seolah-olah wujud sikap pilih kasih dalam kes yang dikendalikan oleh SPRM.
"Kita melihat Samsulbahrin ditangkap dan sekarang berada di Penjara Sungai Buloh tetapi malangnya pelaku rasuah Mohamad Salleh masih bebas serta tidak didakwa langsung," dakwanya lagi.
Katanya, email yang dihantar oleh Megat Najmuddin perlu dipandang serius.
Ini, ujarnya memandangkan Najmuddin merupakan Ahli Lembaga Penasihat SPRM serta selari dengan laporan polis oleh Samsulbahrin pada 27 Januari lalu.
"Beliau mengaku bahawa terdapat arahan dari Mohamad Salleh agar beliau (Samsulbahrin) membayar pihak polis bagi menutup siasatan skandal NFC," katanya lagi di hadapan bangunan SPRM.
Fariz juga menyebut laporan SPRM juga telah dibuat oleh Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dan juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pada 31 Januari yang lepas mengenai perkara itu.
"Jingga 13 meneruskan tekad untuk terus menjadi pendesak dalam isu NFC yang tampak begitu bersungguh-sungguh cuba diselindungi oleh pihak-pihak tertentu.
"Justeru, Jingga 13 ingin mendapatkan kepastian tentang status siasatan yang sedang dilakukan oleh SPRM. Rakyat perlu tahu apakah perkembangannya kerana sudah diketahui umum ini semua adalah melibatkan wang rakyat.
"Jika Ketua Persuruhjaya SPRM tidak mampu dan tiada kredibiliti adalah lebih baik meletakkan jawatan agar dapat dilantik pengganti yang baru yang lebih tegas serta telus dalam melakukan siasatan tanpa takut tekanan pihak lain" sambungnya lagi.
sumber : Harakah Daily