SHAH ALAM 3 Feb: NGO Jingga 13, mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendedahkan perbelanjaan mewah berjumlah RM325,000 (AS 100,000) di Australia baru-baru ini.
Tuduhan perbelanjaan mewah itu didakwa dilakukan Rosmah sepertimana dilaporkan menerusi akhbar dan blog di Australia. Menurut Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, tuduhan itu serius dan menjejaskan kredibiliti Najib serta maruah rakyat Malaysia apabila Rosmah didakwa boros dan bermewah-mewah seperti dilaporkan.
Fariz berkata, Najib dan Rosmah sebelum ini menafikan laporan akhbar Australia Sydney Morning Herald yang ditulis oleh kolumnis Andrew Horney mengenai perbelanjaan Rosmah di butik pereka fesyen, Carl Kapp. “Justeru itu Jingga 13 mencabar Najib dan Rosmah ambil tindakan undang-undang dan menyaman kesemua mereka jika segala tuduhan tersebut liar, fitnah dan direka.
Ini termasuklah kenyataan Pengerusi Festival Fesyen Islam, Raja Rezza Shah yang didakwa bercanggah dengan Karl Kapp. Ia berikutan pendedahan Wartawan fesyen, Patty Huntington mendedahkan emel beliau dengan Carl Kapp yang membuktikan Rosmah berbelanja sakan di butik pereka eksklusif itu di Sydney.
Pada 26 Januari lalu, Jingga 13 turut hadir ke SPRM untuk mengemukakan dokumen dan bukti mengenai perbelanjaan mewah tersebut. Satu aduan juga turut dibuat ke atas Shah Rezza, Najib dan Rosmah berkait skandal membabitkan pembelian 61 helai pakaian dan penginapan semalaman di hotel mewah di Sydney bernilai RM65,000 (AS 20,000).