NORJIMI AZMI LATIF : 31 Januari 2012
KUALA LUMPUR - National Feedlot Corporation (NFCorp) menganggap kehadiran Jingga 13 untuk menyerahkan memo dan menuntut penjelasan mengenai penggunaan kad kredit oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya, cuba mengacau perniagaan mereka.
Wakil NFCorp, Khaidar Jamal berkata, tindakan Jingga 13 boleh menyebabkan urusan perniagaan terganggu dan meminta supaya mereka beredar dengan segera.
“Kami hanya berniaga dan berurusan dalam perkara ini sahaja. Jika mendesak supaya menerima sebarang memo, kami tidak akan layan. Saya harap mereka tidak perlu datang semata-mata mahu berbuat demikian.
“Sekiranya tidak berpuas hati dengan pengurusan syarikat ini seperti didakwa, mereka boleh membuat laporan kepada polis dan biarlah pihak berkuasa menyiasat,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak akan membuka mulut dan mengeluarkan sebarang kenyataan mewakili NFCorp kerana berbuat demikian seolah-olah turut serta dalam urusan politik.
“Terima kasih kerana datang ke sini. Sekiranya mahu berjumpa dengan bos kami (Mohamad Salleh), sekarang beliau tidak ada di pejabat kerana sedang menunaikan umrah.
“Saya tidak mahu berperang mulut dengan Jingga 13 tentang perkara ini. Soal rakyat mahu penjelasan mengenai penyalahgunaan penggunaan kad kredit seperti Jingga 13, itu hanya dakwaannya dan saya juga adalah rakyat Malaysia yang berhak untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.
Menurut Khaidar, pihak atasan tidak memberi lampu hijau untuk menerima sebarang memo atau melayan ‘tetamu’ yang tidak ada kaitan dengan urusan perniagaan.
“Saya minta maaf kerana tidak menerima memo ini dan sekali lagi ulang, biarlah polis menyiasatnya. Kita tunggu hasil siasatan itu,” katanya.
Terdahulu, Jingga 13 mendesak NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membuat penjelasan dengan segera mengenai kad kredit yang digunakan pada 2009 berjumlah RM593,500 dan memberi amaran turut mendedahkan kepada umum penyata kewangan itu jika terus berdiam diri.
Ketuanya, Fariz Musa mendakwa, kekeliruan berlaku apabila kad kredit yang digunakan Mohamad Salleh dan pegawai tertinggi syarikat itu, juga anak-anaknya telah dilunaskan oleh pihak Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) milik kerajaan.
“Kami dapati, Mohamad Salleh dan beberapa anaknya, seperti Wan Shahinur Izran, Wan Izzana Fatimah dan Wan Shahinur Izmir telah membuat perbelanjaan hampir RM600,000 atas alasan untuk pembangunan perniagaan syarikat.
“Yang menjadi kemusykilannya, kenapa NFC milik kerajaan melunaskan hutang kad kredit melalui Maybank dan CIMB?
"Sekiranya ia digunakan untuk pembangunan syarikat, kenapa kerajaan perlu membayar? Ada sesuatu yang tidak kena dan kami mahu polis menyiasat sedalam-dalamnya perkara ini,” dakwa beliau selepas menyerahkan memo kepada NFCorp di Solaris Mont Kiara, hari ini.
sumber: Sinar Harian
sumber: Sinar Harian