Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor tidak layak mempersoal keimanan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali berkata, Rahim telah memfitnah keluarganya dan memukul Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan.
“Kita dikejutkan tohmahan biadap Rahim menggelar Nik Aziz ‘bapa kafir’. Mantan Ketua Polis Negara inilah terbukti memukul dan membelasah Anwar ketika ditahan pada 1998 dan tidak cukup dengan itu memfitnah saya dan keluarga.
“Dia tidak layak persoal keimanan dan keyakinan Nik Aziz. Kedangkalan kenyataan Rahim jelas terserlah malah dicemuh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmin berkata, Nik Aziz merupakan ulama, tokoh ilmuan Islam berwibawa dan dihormati setiap lapisan masyarakat.
Katanya, masyarakat Islam mahupun bukan Islam menyanjungi pekerti Nik Aziz dan menghormati kegigihan beliau mentadbir Kelantan.
“Sebagai Mursyidul Am, Nik Aziz merupakan teladan kepada ahli PAS, menjadi rujukan Muslim seluruh negara. Beliau menampilkan kepimpinan bertunjang pesan Islam dan menzahirkan sebagai dakwah bil hikmah,” katanya.
Justeru, Ahli Parlimen Gombak itu menggesa Rahim memohon maaf kepada Nik Aziz atas tohmahan biadap yang dilemparkan,” katanya.