Inilah gambar yang dikatakan salah seorang dari gangster yang telah menyerang ceramah ABU di Jalan Kebun, semalam. Adakah beliau yang ditahan?
SHAH ALAM, 25 JAN : Polis Selangor telah menahan seorang lelaki berusia lewat 20-an bagi membantu siasatan insiden serangan ketika ceramah Asal Bukan UMNO (ABU) di Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Shah Alam, Jalan Kebun di sini, Sabtu lalu.
Dia ditahan pagi semalam selepas dikenal pasti antara yang menimbulkan kekecohan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya sedang mengenal pasti beberapa suspek lagi dan siasatan sudah mula dijalankan selepas kejadian tersebut berlaku.
Menurutnya, lelaki tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan keterangan daripada saksi juga sudah diambil.
“Tangkapan susulan akan dibuat selepas ini kerana dipercayai kekecohan ini ditimbulkan oleh beberapa individu yang dikenal pasti orang awam yang hadir,” katanya.
Beliau berkata, ceramah yang dianjurkan itu tidak dimaklumkan kepada pihaknya tetapi keadaan dapat dikawal selepas anggota polis tiba di tempat kejadian.
Zahedi juga menegaskan, tidak berlaku sebarang kerosakan di dalam atau luar dewan ketika kejadian termasuk dakwaan gerai yang dimusnahkan oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.
Menurutnya, empat laporan diterima selepas kejadian tersebut dan hasil daripada laporan, pihaknya mengambil tindakan dan membawa kepada penahanan seorang suspek untuk siasatan.
sumber: AntaraPos