Salah satu karya terbaru Zunar
Syabas saya ucapkan buat Sdr Zunar kerana akan mengadakan pameran kartun-kartun politik di London pada bulan Februari depan bertemakan “To Fight Through Cartoon” (Berjuang Melalui Kartun). Pameran tersebut akan berlangsung selama satu bulan di Free Word Centre, 60 Farringdon Road, London. Sebanyak 80 karya-karya kartun yang menyentuh isu politik, rasuah, penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran hak asasi di Malaysia akan dipamerkan. Ucapan penghargaan juga buat Artikel 19, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan kebebasan bersuara kerana menganjurkan pameran ini dan tahniah buat rakyat Malaysia di United Kingdom yang bertungkus lumus menjayakannya.
Saya difahamkan tema “Berjuang Melalui Kartun”dipilih oleh penganjur kerana kartun-kartun politik Sdr Zunar ternyata mendapat kekangan dan tekanan dari pemerintah Malaysia. Pada Julai 2010, kerajaan mengharamkan tujuh buku-buku kartun beliau dengan alasan kandungannya menjejas ketenteraman awam. Selain tu, pejabat Sdr Zunar di Brickfeilds, Kuala Lumpur sering diserbu pihak berkuasa dan buku-bukunya turut dirampas. Manakala itu kilang pencetak diugut agar tidak mencetak buku beliau atau menghadapi risiko kehilangan lesen. Kedai-kedai di seluruh negara juga diberi amaran agar tidak menjual buku-buku beliau. Pada September 2010, beliau ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap di bawah Akta Hasutan namun dibebaskan atas arahan mahkamah. Buat Sdr Zunar dan seluruh seniman, teruskan perjuangan anda semua, teruskan berkarya dan jangan sesekali tunduk menyerah kepada penguasa yang zalim serta rakus.