Ahli Parlimen UMNO Didapati Bersalah Membuat 8 Tuntutan Palsu dan Berdepan Hukuman Penjara & Denda !!
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwa.
Abdul Rahman, 47, dari Umno dituduh membuat lapan tuntutan palsu dengan nilai RM10,000 setiap satu yang berjumlah RM80,000 daripada peruntukan kawasannya berhubung majlis yang tidak pernah dijalankan.
Dia dituduh membuat tuntutan itu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi ADUN Sungai Ayer Tawar. Sementara itu, pembantu beliau Mohd Rusli Busro, yang didakwa bersubahat dalam membuat tuntutan palsu juga didapati bersalah.
Abdul Rahman didakwa mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cenderamata dan jamuan Program Motivasi Pelajar di Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.
Abdul Rahman didakwa melakukan semua perbuatan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam. Bagi setiap pertuduhan, Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama. Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam prosiding yang sama, pembantu kepada Abdul Rahman - Rosli Busro, 44 - didapati bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan itu. Hakim turut membenarkan permohonan peguambela kedua-dua tertuduh, Affifuddin Hafifi dan Lim Kon Keen untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guam mereka sehingga esok pagi di mahkamah sama.
Kedua-dua peguam itu berkata mereka perlukan masa untuk persediaan mitigasi. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa. Seramai 39 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.