Sebelum ini kita membaca tentang keBIADABan Chua Soi Lek tentang penghinaan Beliau terhadap Agama Islam (sini)
Ini Adalah Statement dari Pihak Kami (JINGGA13)
Jingga 13 menyelar kebiadaban dan keceluparan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menghina Hukum Hudud dalam satu petikan akhbar The Star, keluaran 29 Oktober 2011. Dr Chua Soi Lek yang juga Presiden Malaysian Chinese Association (MCA) mengeluarkan kenyataan itu sebagai respon terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang sebelumnya dipetik menyebut, Barisan Nasional tidak akan melaksanakan Hukum Hudud meskipun mengakuinya sebagai hukum Tuhan.
Jingga 13 bertegas kenyataan Dr Chua Soi Lek itu hanyalah sebagai satu gimik politik murahan apabila mengatakan bahawa “Hukum Hudud akan menjadikan negara ini mundur dan menakut-nakutkan pelabur” dan juga “sebahagian negara yang melaksanakan Hukum Hudud sebagai berundur ke belakang”. Adalah sesuatu yang mengguris perasaan, apabila seorang rakyat Malaysia bukan beragama Islam dengan sewenang-wenangnya mempersoalkan perlaksanaan Hukum Hudud, di sebuah negara yang majoritinya Islam dan mengaku menjadi model negara Islam.
Jingga 13 juga yakin kenyataan Dr Chua Soi Lek itu sebagai bersifat biadap dan menghasut masyarakat bukan Islam lainnya untuk membenci perlaksanaan Hukum Hudud berdasarkan petikan kenyataan beliau “malah masyarakat bukan Islam juga akan terkesan, terutamanya di bidang ekonomi dan pendidikan” Kedudukan beliau sebagai Presiden sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional, dikhuatiri akan menyebabkan salah faham lebih besar diantara agama dan juga kaum.
Justeru itu, Jingga 13 hari ini menyatakan pendirian yang cukup tegas, mengecam motif Dr Chua Soi Lek mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan dan biadap seperti itu. Jingga 13 akan membuat satu laporan polis pada 31 Oktober 2011 nanti, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 2.00 petang, disebabkan khuatir kenyataan itu akan menimbulkan kebencian agama dan kaum, serta menggugat serta mengancam keselamatan dan keharmonian negara.
Jingga 13 juga mendesak Kementerian Dalam Negeri menggantung lesen penerbitan The Star, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atas sifat melulu dan tidak profesional Ketua Editornya yang dengan tanpa usul periksa dan tidak bertanggungjawab, meluluskan pencetakkan sebuah artikel yang menghina Agama Islam, sebagai agama rasmi Malaysia seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Negara.
MUAFAKAT * PRIHATIN * BERANI
SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Setiausaha
Jingga 13
Tarikh : 30 Oktober 2011
anjlinabatra · 231 weeks ago