Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menegaskan himpunan Bersih 3.0 perlu diadakan memandangkan hanya satu daripada lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) diluluskan dalam laporan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC).
Pada sidang media yang diadakan di pejabat agung PAS, Mohamad berkata tujuh tuntutan lain langsung tidak dimasukkan dalam laporan 22 cadangan yang diusulkan PSC.
“Ini kerana dari lapan tuntutan tanya satu ditunaikan iaitu celup jari.
“Yang lain langsung tidak dipedulikan bahkan daftar pemilih paling kotor,” katanya menambah parti Islam itu menyokong penganjuran himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka di sini.
Selain dakwat kekal, tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Selain memberi perbandingan jelas antara Malaysia dengan Myanmar, Mohamed berkata negara kita ketinggalan jauh dalam usaha menambahbaik sistem pilihan raya berbanding negara itu yang telah mengamalkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil.
Himpunan Bersih 3.0 yang dijadual akan berlangsung 28 April ini di Dataran Merdeka.
Menurut Mohamad atau lebih mesra dengan penggilan “Mat Sabu” himpunan kali ketiga itu akan menjadi medan untuk memberi tekanan kepada kerajaan berhubung tuntut lapan perkara Bersih yang belum dipenuhi kerajaan.
Perhimpunan dengan tema “Duduk dan Bantah” ini adalah anjuran bersama 84 NGO lain yang akan diadakan serentak di seluruh negara dan dunia.
Perhimpunan ini juga adalah lanjutan daripada himpunan Bersih 2.0 yang berjaya dilancarkan pada 9 Julai tahun lalu dengan penglibatan puluhan ribu rakyat bagi menuntut lapan penambahbaikan dalam sistem pilihanraya.