Penganjur BERSIH 3.0 hari ini mengumumkan bahawa perhimpunan tersebut akan diteruskan pada penghujung bulan ini - jam 2 petang 28 April - di Dataran Merdeka, pusat bandar Kuala Lumpur.
Pengerusi bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Datuk A Samad Said ketika mengumumkan perkara itu turut menganggarkan 500,000 orang dijangka menyertainya kali ini.
Katanya, anggaran itu dibuat berdasarkan interaksi dan pertemuan beliau dengan anggota masyarakat dalam majlis tertentu dan juga di laman media sosial.
"Saya sendiri berjalan di mana-mana dan orang bertanya bila?
"Daripada interaksi sewaktu berjumpa dalam majlis atau dalamFacebook, saya mengkhayalkan setidak-tidaknya, himpunan ini akan mengumpul 500,000 orang," katanya.
Perhimpunan yang anjurkan bersama dengan 84 NGO lain itu juga akan diadakan serentak di seluruh negara dan dunia, kata sasterawan negara itu lagi.
Dalam perhimpunan kali ini, para peserta akan duduk di lokasi tersebut bermula jam 2 petang hingga 4 petang.
"Walaupun BERSIH 3.0 adalah duduk sahaja, tetapi dia memberikan impak yang kuat," katanya dalam sidang media di ibu negara pagi ini.
Sementara itu, Datuk S Ambiga yang juga pengerusi bersama berkata pada perhimpunan lalu, sebanyak 32 lokasi di seluruh dunia terlibat dengan BERSIH 2.0.
Katanya, jumlah itu berkemungkinan akan bertambah pada perhimpunan kali ini.
Lokasi luar negara itu akan diumumkannya pada sidang media selepas ini, katanya.
Perhimpunan kedua pada 9 Julai tahun lalu dihadiri puluhan ribu rakyat yang menuntut supaya lapan perkara itu dilaksanakan.
Kerajaan kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) untuk mencadangkan perkara untuk menambahbaik pilihan raya.
Laporan jawatankuasa itu dikemukakan ke parlimen semalam dengan bantahan oleh wakil pembangkang.
Nazri: Dataran Merdeka tidak diwarta untuk perhimpunan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata Dataran Merdeka - tempat BERSIH 3.0 dijadual diadakan pada 28 April ini - bukan merupakan tempat orang ramai dibenarkan untuk berhimpun walaupun secara aman.
Menurutnya, Dataran Merdeka tidak diwartakan sebagai kawasan untuk mengadakan perhimpunan aman.
Beliau memberitahu pemberita demikian ketika ditemui di Parlimen sebagai mengulas penganjuran perhimpunan BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April kerana tidak puashati dengan syor jawatankuasa pilihan Parlimen (PSC) untuk menambahbaik sistem pilihan raya yang didakwanya gagal menangani isu-isu utama.
Dalam reaksi segera, Pengerusi Bersama BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga berkata, pihaknya akan berbincang dengan polis mengenai perkara itu.
Malaysia kini