PHR

Selangorku

Warta Jingga Followers

Tuesday, 3 April 2012

Usul PSC tambah baik p'raya lulus dalam kecoh & 3 Ahli Parlimen PR Dihalau Keluar



Saksikanlah video live dari Parlimen disaat Ahli Parlimen PR dihalau keluar!


KUALA LUMPUR, 3 April: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dalam suasana kecoh.


Pengundian mengenai usul PSC itu yang dibentangkan oleh pengerusinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dibuat dalam keadaan dewan kecoh ekoran Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan pembangkang tidak berminat untuk membahaskannya.

Dalam suasana kekecohan tersebut, Yang Dipertua membuka ruang untuk pengundian yang menyaksikan usul itu diluluskan setelah Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan R Sivarasa (Subang) diperintah keluar dewan sebelum itu.




PSC syor SPR kaji sistem pilihan raya baru


SHAH ALAM - Parlimen mengesyorkan agar negara menggunakan sistem pilihan raya yang baru bagi menggantikan sistem majoriti mudah, yang digunakan sejak lima dekad lalu, agar sesuai dengan peredaran masa.
Dalam laporan yang dibentangkan hari ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh meneliti cadangan itu kerana ia merupakan perkara melibatkan dasar yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan dan melaporkan semula kepada panel itu.


PSC juga mengesyorkan supaya sebuah jawatankuasa peringkat Parlimen diadakan bagi tujuan tersebut.



"Jawatankuasa mengambil maklum bahawa sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia sejak merdeka sehingga sekarang ialah sistem majoriti mudah.



"Jawatankuasa mengambil maklum cadangan untuk menambah baik sistem majoriti mudah  sedia ada ataupun mengkaji apa-apa sistem pilihan raya lain seperti sistem campuran atau sistem perwakilan berkadaran," kata laporan PSC Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.



Dalam laporannya, PSC menggariskan 22 syor untuk pertimbangan kerajaan dan SPR.



Di bawah sistem majoriti mudah, pemenang ambil semua di mana parti terbabit akan membentuk kerajaan. Ia digunakan di United Kingdom dan kini diamalkan disebahagian besar bekas koloni British.



Dalam pada itu, perwakilan berkadar merupakan suatu sistem pengundian atau pilihan raya di mana keputusan akhir adalah berdasarkan kepada agihan undi yang diperolehi oleh setiap parti. Terdapat tiga sistem yang berasaskan pengundian cara perwakilan berkadar iaitu sistem senarai parti, sistem campuran ahli dan undi pemindahan tunggal.



Laporan PSC itu meliputi lima isu utama iaitu perundangan dan pindaan peraturan, menambah baik proses pilihan raya, meningkatkan mutu daftar pemilih, memperkukuh kedudukan SPR dan persempadanan, pembiayaan politik dan sistem alternatif.



Syor-syor dan cadangan itu diperoleh PSC daripada sesi pendengaran awam, maklum balas daripada anggota jawatankuasa, rumusan hasil penelitian semula  jawatankuasa kecil serta pemerhatian semasa lawatan kerja yang dilakukan sejak jawatankuasa itu diluluskan pada Oktober tahun lepas.



Jawatankuasa itu telah mengadakan 13 mesyuarat sejak 12 Oktober lalu hingga 28 Mac tahun ini, selain menubuhkan lima jawatankuasa kecil yang diketuai anggota jawatankuasa PSC untuk memperhalusi isu-isu yang berbangkit dalam pendengaran awam yang telah diadakan.

Laporan akhir PSC itu, yang dibentang pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, juga mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan senarai pemilih yang alamatnya diragui berdasarkan dakwaan terdapat lebih 50 pengundi di satu alamat yang sama, dalam tempoh 45 hari daripada tarikh laporan PSC dibentang.
Ini adalah untuk memberi ruang pemilih yang terlibat memaklumkan kepada SPR bagi membolehkan suruhanjaya itu mengemas kini dan membersihkan senarai pemilih berkenaan, kata laporan itu yang dibentang hari ini.
Mengenai cadangan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara yang mencapai umur 21 tahun, SPR disaran mengambil tindakan untuk melaksanakannya dalam tempoh 12 bulan bagi membolehkan cadangan ini dilaksana pada masa hadapan.
Jawatankuasa itu juga mencadangkan SPR melantik lebih petugas pilihan raya daripada tempat mereka mengundi supaya dapat mengurangkan bilangan petugas yang perlu mengundi secara pos.

Manakala bagi petugas media, SPR disyor memberi kemudahan mengundi secara pos menurut Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Jawatankuasa itu turut mencadangkan SPR distruktur semula dengan diberi kuasa yang sewajarnya bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang pilihan raya dijalankan oleh badan penguatkuasaan SPR sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak-pihak lain.
Menyentuh mengenai persempadanan semula, PSC mengesyorkan SPR supaya menentukan satu formula yang adil dan saksama berdasarkan satu prinsip yang tetap dalam menentukan jumlah pengundi di sesuatu bahagian pilihan raya dalam satu negeri tidak berbeza dengan ketara.
"Jawatankuasa mengesyorkan SPR menyemak semula Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan bertujuan memberi makna sepenuhnya kepada prinsip 'Satu Orang, Satu Undi' dan mengembalikan wajaran kawasan luar bandar," kata laporan itu.
Laporan itu turut meminta SPR meneliti cadangan untuk menambah baik Sistem Majoriti Mudah sedia ada ataupun mengkaji apa-apa sistem pilihan raya lain seperti campuran atau Sistem Perwakilan Berkadaran.
"Perkara ini perlu diteliti kerana ia melibatkan dasar yang perlu dipertimbang oleh kerajaan, dan melaporkan semula kepada jawatankuasa itu," kata laporan itu.

Rakan Facebook Jingga 13

Blog Archive

Tip Top Sponsor


Intense Debate Comments

Artikel Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...