Perdana Menteri berkata, kerajaan berdepan pelbagai cabaran untuk menguruskan sebuah masyarakat lebih terbuka, liberal dan progresif yang mewujudkan demokrasi yang lebih moden.Katanya, menerusi perubahan dan transformasi ekonomi dan politik yang giat dilaksanakan, masyarakat diharap dapat mengecapi keamanan dan kestabilan serta kemakmuran negara.Namun, beliau juga berharap media berhati-hati supaya tidak menyemarakkan api perkauman, bertindak semata-mata atas perhitungan kumpulan tertentu dalam masyarakat sehingga membawa kesan negatif kepada masyarakat dan kesejahteraan negara.
Peranan media asing juga tidak dinafikan turut bertanggungjawab menjana perubahan kepada masyarakat lebih moden dan progresif.
Semua media, termasuk media asing bertanggungjawab melaporkan kepada masyarakat secara tepat dan penuh tanggungjawab, katanya pada majlis Malam Media Perdana 2011, di Dewan Felda, di sini malam tadi.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Majlis turut dihadiri menteri Kabinet.
Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurugambar Bernama TV yang maut terkena tembakan ketika membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, 2 September lalu.
Cek sumbangan RM425,933 daripada pihak insurans dan sumbangan orang ramai disampaikan kepada bapa Allahyarham, Mohd Nor Mat Yassin. Najib turut menyerahkan sumbangan peribadi RM11,000 kepada jurugambar TV3, Aji Siregar Mazlan, 26, yang cedera dalam kejadian itu.
anjlinabatra · 232 weeks ago