YOGYAKARTA: Puteri bongsu Raja Jawa, Sri Sultan Hamengku Buwono X, Gusti Raden Ajeng Nur Astuti Wijareni, 25 tahun, semalam melangsungkan perkahwinan dengan seorang pegawai pemerintah rakyat biasa, Kanjeng Pangeran Haryo Yudanegara Ahmad Ubaidillah, 30 tahun, mengikut adat istiadat Jawa.
Upacara pernikahan diadakan di Masjid Penenpen sekitar 7.30 pagi waktu tempatan.Encik Ubaidillah yang dilahirkan di Jakarta, bekerja sebagai pegawai negeri di Sekretariat Wakil Presiden dan sejak Mac lalu ditugaskan di Bahagian Komunikasi Media Cetak, khusus mengendalikan isu politik.
Kedua-dua ibu bapanya berasal dari daerah Lampung, Sumatera.Bapa beliau yang bertugas sebagai pegawai di Badan Pertahanan Nasional manakala ibu beliau pesara Kementerian Agama.
![]() |
Media Indonesia melaporkan Encik Ubaidillah dan Cik Wijareni, yang lebih dikenali sebagai Jeng Reni, menjalin hubungan hampir lima tahun sebelum mengambil keputusan melangsungkan perkahwinan.'Ia adalah cinta pandang pertama. Kali pertama saya terpandang Reni saya terus jatuh hati tetapi kami menunggu hingga lima tahun untuk berkahwin agar kami benar-benar bersedia.'Reni seorang wanita sederhana, berbudi bahasa dan tidak meninggi diri.
'Beliau menerima saya seadanya dan kami serasi antara satu dengan lain,' kata Encik Ubaidillah.Beliau berkata, sebelum pernikahan berlangsung, beliau dikehendaki menjalani beberapa upacara termasuk yang dikenali sebagai 'nyantri' iaitu adat menjemput pengantin lelaki ke istana dengan kereta kuda berikutan beliau bukan berdarah raja, upacara bersiram dan beberapa upacara tradisi lain.Beliau juga menyifatkan bakal bapa mentuanya seorang yang baik dan berfikiran terbuka, terutama dalam soal memilih calon menantu bagi anak perempuan mereka.
Sementara itu, Cik Wijareni, yang juga finalis Miss Indonesia 2009, menyifatkan Encik Ubaidillah sebagai seorang lelaki yang matang dan amat memahami dirinya selain seorang yang sederhana dalam semua hal.'Sikapnya yang tenang dan penyabar menarik perhatian saya,' katanya yang mengendalikan perniagaan sendiri.Upacara perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama tiga hari, dengan kira-kira 4,000 tetamu diundang bagi majlis resepsi selepas upacara pernikahan. -- Agensi.
anjlinabatra · 232 weeks ago